Khamis, 2 Disember 2010

Penstrukturan semula industri air Selangor

Kerajaan Negeri Selangor mengajak Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan ‘model holistik’ yang ditawarkan di mana empat syarikat swasta yang mendapat konsesi air selama ini akan dibeli dan diletakkan ke dalam satu Badan Bertujuan-Khas. Entiti baru ini akan dilurus-tadbir sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan mempunyai perkongsian saham istimewa. Semua asset berkaitan air akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat di bawah Kerajaan Persekutuan.

Kenapa Kerajaan Negeri Selangor menawarkan ‘model holistik’?

Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa ‘model holistik’ adalah penyelesaian terbaik kerana rawatan dan agihan air akan dilakukan oleh pengendali tunggal. Ini akan mengurangkan tariff air kerana tiada isu “kos pemindahan” kerana pada masa ini pengendali rawatan air meletakkan nilai keuntungan yang tinggit dan ini menyebabkan syarikat pengagihan air meningkatkan tariff air. Industri air akan lebih berkesan dan tidak terbeban dengan asset dengan menggunakan model holistic. Syarikat swasta ini tidak lagi akan beroperasi seperti mana sebelumnya. Melalui model ini, kenaikan tariff air boleh dibuat tidak melebihi 12% setiap tiga tahun. Keuntungan operasi adalah paling rendah iaitu sekitar 0-1%.

Apakah kesan penswastaan industri perkhidmatan air?

Industri air ini pada asalnya dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Ia diswastakan antara tahun 1997 dan 2002 kepada empat syarikat, iaitu :
1. Konsortium Abass Sdn Bhd
2. Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH)
3. Puncak Niaga Sdn Bhd (PUNCAK)
4. Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)

Penswastaan keperluan awam ini tidak berimbang kerana perjanjian konsesi diberikan kepada SYABAS untuk menaikkan tariff air setiap tiga tahun pada kadar yang terlalu tinggi. Pada tahun 2009, melalui perjanjian konsesi, SYABAS dibenarkan untuk menaikkan tariff air sehingga 37%. Tariff air ini dijadualkan akan meningkat pada kadar 25%, 20%, 10% dan 5% pada tahun 2012, 2015, 2018 dan 2021. Pengguna dipaksa membayar harga harga tinggi dan masih menerima kualiti perkhidmatan yang amat buruk. Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa SYABAS tidak wajar dibenarkan terus beroperasi dan industri air mesti diambil semula oleh Kerajaan Negeri sebagaimana sejarah asalnya.

Kenapakah penting untuk menyah-swastakan industri perkhidmatan air sedia ada?

Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu telah menyatakan bahawa akses kepada air bersih ialah satu daripada hak asasi manusia dan ini sangat dialukan oleh jurukempen isu air sebagai satu langkah penting. Resolusi PBB ini menggesa bantuan kewangan disediakan oleh Negara-negara ahli untuk membantu mana-mana Negara menyediakan air yang selamat, bersih, boleh diakses dan mampu dibayar oleh semua. Sifat ditunjukkan oleh syarikat swasta yang mendapat konsesi air, khususnya SYABAS, ialah berorientasikan keuntungan dan tidak mengisahkan kepentingan rakyat sebagaimana sepatutnya boleh dilakukan oleh syarikat milikan kerajaan. Akses kepada air seharusnya memenuhi hak dan keadilan kepada rakyat.

Adakah ini bersesuaian dengan peruntukan undang-undang?

Ya, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 telah diluluskan oleh Parlimen dengan objektif untuk menggabungkan asset industri berkaitan air dan memindahkannya kepada PAAB. PAAB akan menyumbang kepada perbelanjaan modal (CAPEX) masa depan dan menyediakan dana untuk penyelenggaraan asset. Undang-undang ini telah diluluskan untuk menyelesaikan masalah industri air yang terbahagi. Objektifnya adalah untuk memastikan pelaburan modal optimum untuk rawatan dan pengagihan air. PAAB sebagai sebuah entity kerajaan akan menikmati kos pinjaman yang rendah, membolehkan biaya sewa rendah untuk pengendali dan sekaligus akan merendahkan kadar tariff untuk rakyat. Pendekatan model holistik adalah selari dengan sebahagian cadangan Kerajaan Persekutuan yang telah dijadikan Dasar Kebangsaan.

Kenapa Kerajaan Negeri Selangor mahu menguruskan industri perkhidmatan air?

Pada Februari 2008, perbincangan cabinet telah membuat keputusan membenarkan syarikat milikan kerajaan negeri iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengetuai proses penstrukturan semula. Selepas meneliti dan membincangkan banyak aspek berkaitan pengambil-alihan ini, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat kini berpendapat adalah baik untuk meneruskannya dengan model holistik yang dicadangkan. Ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat. Bagaimanapun, selepas Mac 2008, Kerajaan Persekutuan telah mengubah pendirian mereka untuk tidak membenarkan Kerajaan Negeri Selangor menguruskan industri perkhidmatan air di Selangor.

Adakah benar Kerajaan Negeri Selangor yang menangguhkan projek pengambil-alihan ini?

Tidak. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi maklum balas segera kepada semua panggilan mesyuarat yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Bahkan, Kerajaan Negeri Selangor telah memanggil semua syarikat terlibat untuk bermesyuarat pada Mei 2010, tetapi ini telah dihalang oleh Kerajaan Persekutuan melalui e-mel untuk menunda mesyuarat tersebut tanpa memberikan alas an. Ini berpunca daripada sikap tidak bersetuju Kerajaan Persekutuan terhadap model holistik yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Persekutuan masih mahukan semua syarikat swasta yang terlibat dengan industri perkhidmatan air ini beroperasi.

Dalam bentuk apakan SYABAS menunjukkan prestasi yang tidak memuaskan?

Dalam laporan audit terhadap SYABAS menunjukkan bahawa syarikat swasta itu telah melanggar terma penting dalam syarat perjanjian. Mereka gagal mematuhi keperluan kontrak untuk dianugerahkan melalui tender terbuka. Lebih 72% kontrak bernilai RM600 juta diberikan kepada syarikat-syarikat yang dipilih melalui rundingan terus dan hanya 25% syarikat dipilih melalui tender terbuka. Ini telah melanggar syarat perjanjian. Perbezaan sebanyak RM325 juta telah ditemukan antara ringkasan kontrak yang dianugerahkan pada tahun 2005, 2006 dan 2007 dengan dokumen penilaian SYABAS (Akaun Umum). Pada Jun 2005, SYABAS juga melanggar konsesi dengan menggunakan paip yang diimpot daripada Indonesia, dan bukan daripada pembekal tempatan, untuk penggantian paip bernilai RM375 juta. RM51.2 juta telah dibelanja untuk mengubahsuai pejabat SYABAS sedangkan Jabatan Kawalselia Air Selangor (JKAS) hanya meluluskan sebanyak RM23.2 juta.

Kenapakah Kerajaan Negeri Selangor tidak membenarkan SYABAS menaikkan tariff air?

Audit adalah satu keperluan yang mesti dilakukan oleh syarikat untuk membolehkan mereka menaikkan tariff air (yang dijadualkan berlaku pada Januari 2009). Kerajaan Negeri Selangor berpendirian SYABAS tidak menunjukkan prestasi berdasarkan perkara yang boleh dipersoalkan sebagaimana tertera dalam laporan audit dan ini sekaligus menyebabkan kenaikan tariff air tidak dipersetujui. Kenaikan tariff nin mesti dipersetujui bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dan ini tidak dilakukan. SYABAS mahu menyaman Kerajaan Negeri sekitar RM1 billion, tetapi hakikatnya Kerajaan Negeri Selangor boleh menyaman SYABAS kerana tidak menunjukkan prestasi sebagaimana yang dipersetujui dalam perjanjian.

Adakah tawaran Kerajaan Negeri Selangor berpatutan?

Kerajaan Negeri telah memberikan beberapa tawaran kepada syarikat yang terlibat. Pertama, jumlah sebanyak RM5.7 billion dibuat pada Januari 2009 dan ditolak oleh semua syarikat. Kali kedua, tawaran diberikan sebanyak RM9.29 billion pada Jun 2009 diterima oleh ABASS dan SPLASH, tetapi ditolak oleh PUNCAK dan SYABAS. Tawaran Kerajaan Negeri ini adalah adil dan berpatutan, mengambil kira pulangan pelaburan modal sebanyak 12%. Ini mengambil kira jumlah dan tempoh pelaburan serta hutang yang ada. Kami yakin ini adalah adil, tetapi syarikat-syarikat tersebut menuntut nilai lebih tinggi yang kami yakin didorong oleh sikap tamak mereka. Ini adalah tambahan kepada kontrak yang sedia ada mewah. Lebih tinggi nilai yang tidak sepatutnya dibayar kepada mereka, lebih tinggi rakyat terpaksa menanggung beban melalui kenaikan tariff.

Apakah langkah seterusnya akan dilakukan berikutan penangguhan ini?

Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu dijelaskan dan diajak untuk menyatakan sikap kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan bahawaHANYA model holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor terbaik dan paling sesuai dilakukan. Ini membolehkan tariff yang dikenakan kepada rakyat pada kadar rendah dan memastikan semua mempunyai akses yang cukup untuk mendapatkan air serta tidak berlaku lagi syarikat kroni mengumpul keuntungan besar untuk manfaat mereka semata-mata. Tanpa desakan awam, Kerajaan Persekutuan akan menekan dan memaksa Kerajaan Negeri Selangor (dan rakyatnya) untuk menerima model yang membolehkan syarikat swasta ini terus beroperasi.

Adakah benar krisis air akan berlaku pada tahun 2012?

Kerajaan Negeri Selangor kekal berpendapat ianya adalah spekulasi. Kerajaan Persekutuan pernah menyatakan bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2007 dan 2010 tetapi ini tidak berlaku. Terkini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Peter Chin membuat kenyataa berasaskan Kajian Sumber Air Kebangsaan (NWRS) 2000-2005 oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang tidak mengikut Garis Panduan Rekabentuk Jabatan Kerja Raya (JKR). NWRS menyatakan jumlah keperluan air yang terlalu tinggi iaitu 500-1,225 liter per kapita per hari (l/c/d) pada tahun 2010 berbanding dengan angka MWA iaitu 320 l/c/d. Justeru, angka NWRS sangat boleh dipersoalkan kerana ia menggunakan pembolehubah peningktan pelarasan mesti dibuat terutama dengan reality keadaan ekonomi yang perlahan. Dengan tumpuan Rancangan Malaysia ke-10 diberikan kepada sector perkhidmatan (dan kurang kepada industri dan pembuatan), permintaan air secara tidak langsung akan berkurangan.

Perlukah kita mengurangkan penggunaan air?

Kerajaan Negeri Selangor memang menyetujui penggunaan air secara berhemat, kitar semula air dan juga tadahan air hujan. Alternatif-alternatif lain juga perlu diteroka seperti pengekstrakan air bawah tanah, air daripada sungai dan tasik. Penggunaan air terawatt perlu dikurangkan untuk aktiviti seperti membasuh kereta, menyiram pokok dan kolam serti akuarium di rumah.

Adakah Kerajaan Negeri Selangor menghentikan Projek Pemindahan Air Antara-Negeri Pahang-Selangor?

Kerajaan Negeri Selangor menasihatkan Kerajaan Persekutuan untuk menghitung semula permintaan air dengan lebih tepat sebelum berhasrat untuk melaksanakan sebuah lagi projek mega yang mencecah sehingga RM9 billion. Projek ini tidak perlu dijalankan secara tergesa-gesa. Hakikatnya, projek ini diasaskan daripada dapatan NWRS yang antara lain disediakan oleh tida syarikat swasta yang terlibat dengan projek tersebut iaitu: Ranhill Bersekutu Sdn Bhd, Jurutera Perunding Zaaba Sdn Bhd dan SMHB Sdn Bhd. Konflik kepentingan wujud di mana ia menjadi kemahuan mereka untuk menggalakkan pembinaan Empangan Kelau, Loji Rawatan Air Langat 2 dan pembinaan paip-paip berkaitan.